Friday, February 20, 2009

Rakaman Video CCTV - Bukti Ejen UMNO Merasuah Wakil Rakyat Pakatan

0 ulasan

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata UMNO cuba merasuah wakil rakyat di negeri dikuasai Pakatan Rakyat untuk memujuk mereka menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ejen-ejen pemimpin Umno juga menggunakan kaedah tidak beretika yang lain termasuk mengugut untuk membuat wakil rakyat pakatan tersebut supaya meninggalkan parti masing-masing dalam usaha mereka mahu menjatuhkan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang.


Ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata beliau mempunyai bukti-ibukti yang menyokong dakwaannya.


Beliau memberitahu pemberita di luar dewan kemudian bahawa beliau mempunyai rakaman TV litar tertutup yang membuktikan ejen-ejen UMNO menawarkan rasuah dan akan mengemukakan bukti berkenaan apabila tiba masanya.


Menyentuh mengenai perkembangan politik di Perak, Anwar mengulangi pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah, sebaliknya bersetuju jika kerajaan negeri yang disifatkannya tidak sah, disaman.


Kerajaan Perak kini dikuasai BN selepas tiga Adun bebas di negeri itu menyatakan sokongan kepada BN yang mempunyai 28 kerusi, menumbangkan pakatan DAP, PAS dan PKR yang juga mempunyai 28 kerusi.

Tuesday, February 17, 2009

Elizabeth mahu undur MB, Anwar nasihat cuti

0 ulasan

Elizabeth Wong, yang memutuskan hasrat untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel, telah dinasihatkan agar bercuti buat sementara waktu.

Menteri Besar Selangor berkata, beliau telah menasihatkan Wong agar bercuti dan mengambil rehat yang sewajarnya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan berapa lama Wong dinasihatkan supaya bercuti.

Nasihat yang sama turut diberikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen, yang turut meminta Wong supaya mengkaji semula pendiriannya mahu meletakkan jawatan.

Semalam Wong berkata beliau telah menjadi "mangsa kejadian" penyebaran foto atau video separuh bogelnya, yang dipercayai disebarkan oleh bekas kekasihnya.

Media melaporkan bahawa bekas kekasihnya kini berada di luar negara.

Malam tadi kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan dua mesyuarat - peringkat negeri dan peringkat kebangsaan - dari 8.30 malam tadi sehingga awal pagi ini bagi membincangkan isu Wong.

mStar Online
difahamkan antara opsyen yang ditimbangkan dalam kedua-dua pertemuan itu ialah meminta Wong berundur daripada kedua-dua jawatan berkenaan.

Selangor PAS dijadual turut mengadakan mesyuarat petang ini membincangkan isu berkenaan.

Malah, Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor untuk memperjelaskan isu berkeaan dan mendapatkan pandangan baginda.

"Saya telah menerima surat daripada YB Elizabeth Wong yang mengatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor dan ADUN Bukti Lanjan.

"Perkembangan ini adalah sesuatu yang malang memandangkan YB Elizabeth Wong merupakan anggota Exco contoh," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sejam yang lalu.

Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan tarikh beliau akan menghadap Sultan Selangor - mStar



Sementara itu akhbar internet Malaysiakini melaporkan PKR akan membuat keputusan mengenai status exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong selepas beliau balik dari cuti, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun diasak berulangkali, Anwar enggan menyatakan berapa lama Elizabeth akan bercuti.

Anwar juga berkata beliau akan meminta Elizabeth menimbang semula keputusannya menawar untuk meletakkan jawatan exco negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan.

"Kita akan meminta beliau menimbangnya semula," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar turut mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan foto-foto bogel Elizabeth kepada umum.

Kelmarin, Elizabeth membuat aduan polis berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum itu. Selain foto, difahamkan satu klip video juga turut disebarkan.

Beliau juga merupakan Adun PKR di Bukit Lanjan dan exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar sejak 11 bulan lalu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Monday, February 16, 2009

‘Rapat Anak Muda’, Persiapan AMK Mengekalkan Kemenangan Pakatan Rakyat di Dua Bukit.

0 ulasan
Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia sedang mengadakan ‘tour’ Program Rapat Anak Muda (Rapat) yang di laksanakan di seluruh negara.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Amin berkata, program Rapat di adakan bagi memastikan idea dan pengisian ucapan dasar Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang diadakan di Shah Alam, pada November tahun lalu, di perturunkan ke bawah.

“Beberapa isu yang berkaitan politik masakini termasuk juga soal-soal cabaran ekonomi dan memperkasakan AMK,

“dalam usaha menjadikan AMK sebagai wadah politik (menjadi) tarikan untuk gnerasi muda di Malaysia,”katanya kepada media selepas menutup program Rapat Terengganu, disini, semalam.

Beliau berkata, medan Rapat juga menjadi forum AMK menyampaikan informasi terkini hal-hal berkaitan kemelut politik negeri Perak.

Katanya Rapat juga menjadi medium menyampaikan mesej yang jelas supaya AMK seluruh negara bersiap siaga menghadapi dua Pilihanraya Kecil (PRK), Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di negeri Kedah.

“Pastinya kita memandang sinis sikap Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang seolah-olah menjadi alat dan perkakas kepada UMNO dan Barisan Nasional,”katanya menyelar pendirian ‘berpihak’ SPR yang menetapkan tarikh PRK selepas Perhimpunan Agog UMNO.

Katanya SPR sepatutnya menjadi suatu badan bebas yang tidak berpihak ataupun kelihatan cenderung kepada mana-mana parti politik.

“Kenapa mereka boleh menyegerakan PRK Kuala Terengganu tetapi dalam PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau mereka melewat-lewatkan,

“alasan SPR tidak boleh diterima sama sekali,”jelas beliau.

Dalam membuat persediaan PRK Bukit Selambau, beliau berkata, taklimat telah diberikan kepada AMK negeri Kedah pada Rabu minggu lalu.

“Saya akan ke negeri Perak minggu depan untuk bertemu dengan pimpinan AMK Perak bagi merangka gerak kerja pilihanraya,

“umumnya, kita telah bersedia untuk menghadapi kedua-dua pilihanraya tersebut secara serentak,”ujar beliau.

Katanya, strategi dan pendekatan menghadapi dua PRK akan datang agak berbeza dengan PRK Kuala Terengganu kerana Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah kawasan yang telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat sedangkan PRK Kuala Terengganu dimenangi oleh BN pada Pilihanraya Umum yang lalu.

“Di kedua-dua kawasan (Bukit Gantang dan Bukit Selambau) kiita harus meyakini para pengundi supaya terus mengundi Pakatan Rakyat,”katanya.

Oleh itu, katanya AMK akan memberikan tumpuan meningkatkan sasaran sokongan pengundi muda sebanyak 5% hingga 10% menjadikan keseluruhan 80% bagi memastikan kemenangan kekal kepada Pakatan Rakyat.

Aktivis AMK PKR ditahan sebar risalah krisis Perak

0 ulasan

Polis menahan empat pemimpin PKR Kuala Kangsar berhubung pengedaran risalah penerangan krisis politik di Perak pagi semalam.

Mereka - termasuk ketua Wanita bahagian dan ketua Angkatan MudaKeadilan (AMK) - ditahan di Arena Square Pasar Tani di Kuala Kangsar.

Ketua polis Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghafar Mohamad berkata, mereka ditahan ketika mengedarkan risalah tersebut kepada orang ramai pada kira-kira jam 9 pagi.

Menurut Bernama, polis turut merampas risalah tersebut daripada keempat-empatnya.

Abdul Ghafar dipetik berkata, mereka ditahan kerana risalah mengenai krisis politik di Perak itu "boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan" di kalangan rakyat.

Mereka yang disiasat mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dibebaskan dengan jaminan polis selepas merakamkan kenyataan mereka.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, ketua AMK bahagian Abdul Hadi Rusli (foto, baju merah) mengesahkan mereka berempat ditahan polis kerana didakwa menyebarkan risalah berhubung pemecatan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kepada pengunjung yang lalu lalang di pasar minggu tersebut.

Turut ditahan bersamanya, ketua Wanita, Rosmina Hamdan dan setiausahanya Nor Bariah Mohd Ali.

Mantan ketua AMK bahagian Meor Johari Abu Bakar turut ditahan

Mereka ditahan oleh lima anggota polis yang berpakaian biasa dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar yang terletak kira-kira 300 meter dari pasar tersebut.

Menurut Abdul Hadi lagi, mereka ditahan selama tujuh jam untuk diambil kenyataan dan polis juga merekodkan gambar dan cap jari mereka.

Mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan diminta melaporkan diri pada jam 10 pagi, 2 Mac ini di balai yang sama.

Saturday, February 14, 2009

Speaker DUN Perak Masih Dalam Tangan Pakatan Rakyat

0 ulasan

Sesuatu yang pelik, tapi benar ! Speaker DUN Perak masih dalam tangan Pakatan Rakyat, sebab itu kerajaan minoriti Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Menteri Besar palsu, belum melantik Speaker.

Bukan kerana tidak mempunyai calon, atau Dr. Zambry tidak faham, tetapi tiada peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri Perak untuk melantik Speaker !

“Oleh itu, Speaker DUN Perak kekal dengan ADUN Tronoh, V. Sivakumardari parti DAP,” kata Speaker DUN Selangor Teng Chang Kim dalam satu kenyataannya di Ipoh, kelmarin

Menurut Teng Chang Kim yang juga seorang peguam, tidak ada peruntukan juga yang boleh memecat Speaker DUN Perak dengan undi tidak percaya.

Beliau berkata DUN Selangor dan Perlembagaan mempunyai peruntukan Speaker pada bila-bila masa akan mengosongkan pejabatnya sekiranya DUN atau Parlimen memutuskan, namun negeri Perak tidak ada peruntukan tersebut.

Adun Sungai Pinang, Selangor itu juga menyatakan Speaker DUN Perak hanya kosong apabila dia meletakkan jawatan sebagai ADUN Perak atau beliau didapati tidak layak, atau beliau sendiri meletakkan jawatan sebagai Speaker dengan kerelaannya.

Oleh yang demikian krisis perlembagaan di negeri Perak akan berterusan !

Justeru dengan kuasa yang masih diperuntukkan itu, kata Teng, Dr Zambry tidak mempunyai pilihan kecuali terus mengekalkan V. Sivakumar sebagai Speaker.

Dengan keadaan itu, apabila Sidang DUN Perak dipanggil kelak, Sivakumar juga mempunyai kuasa untuk mengharamkan ‘para pengkhianat’ dari Pakatan Rakyat menghadirkan diri ke Sidang DUN.

Ia adalah kerana mereka telah meletakkan jawatan sebelum ini, dan Osman Jailu, Jamaludin Mad Radzi dan Hee Yit Foong perlu membawa kes tersebut ke mahkamah bagi mendapat keputusan samada mereka masih menjadi ADUN ataupun sebaliknya.

Teng juga berkata, sekiranya atas apa jua sebab dan keadaan, Sivakumar mengosongkan pejabatnya, maka DUN Perak akan menjadi sebuah DUN yang tergantung kerana undang-undang tubuh kerajaan Perak memperuntukkan DUN tidak boleh menjalankan apa-apa aktiviti, sekiranya Speaker mengosongkan pejabatnya.

Justeru, menurut Teng, Dr. Zambry tidak mempunyai pilihan lain, kecuali memohon kepada Sultan Perak supaya DUN Perak di bubarkan.

Namun, beranikan BN Perak berbuat demikian dalam keadaan sekarang !

Buletinonline

Thursday, February 12, 2009

“Masa Untuk Mengganyang Najib”, AMK Terengganu Siap Siaga Untuk PRK Dua ‘Bukit’

1 ulasan

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Terengganu sudah bersiap siaga untuk menghantar skuad AMK menyertai pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau.


“Skuad AMK Terengganu akan bergabung dengan AMK Malaysia dalam menggerakkan gerak kerja kempen kedua-dua PRK ‘Bukit’ tersebut pada bila-bila masa diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),”kata Ketua AMK Terengganu Fariz Musa.

Menurutnya bagi memantapkan lagi persiapan fizikal dan mental ahli-ali AMK Terengganu, program ‘Rapat Anak Muda’ akan diadakan di pejabat Perhubungan PKR Terengganu pada 14 Februari depan.

Beliau berkata program tersebut akan menggabungkan kepimpinana AMK dan skuad AMK Terengganu dalam sesi latihan dan percambahan pemikiran sebagai langkah proaktif siap siaga.

“AMK Malaysia akan turut memanggil latihan khusus persiapan kerja-kerja kmpen pilihanraya dalam masa terdekat, bagi mecapai sasaran gerak kerja tersusun sistematik dan efektif,”kata beliau yang juga Pengarah Pilihanraya AMK Malaysia.

Katanya insiden yang sedang berlaku di negeri Perak telah menaikkan semangat AMK menjadi semakin kental untuk memastikan kemenangan kedua-dua PRK tersebut memihak kepada Pakatan Rakyat.

“Kita (AMK) akan memberikan fokus kepada isu-isu setempat yang signifikan kepada pengundi di kedua-dua PRK tersebut,

“kita juga sudah menyiapkan bahan-bahan penerangan bagi menangkis fitnah dan tohmahan yang dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkaitan ‘rampasan kuasa’ yang telah dilakukan secara rakus di negeri Perak,”katanya kepada Buletinonline semalam.

Beliau percaya pengundi di kedua-dua kawasan pilihanraya tersebut lebih matang untuk menilai situasi dan realiti krisis politik yang belaku.

Oleh itu, beliau yakin pengundi kedua-dua kawasan tersebut akan menyokong calon Pakatan Rakyat dan memastikan penerusan kemenangan selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

“Keutamaan AMK, sebagaimana di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah kepada pengundi muda,

“kecemerlangan AMK dalam kedua-dua pilihanraya kecil sebelum ini akan diteruskan dengan penggembilangan usaha dan gerakan turun berkempen secara habis-habisan,

“lebih-lebih lagi, DUN Changkat Jering yang di wakili oleh ‘pengkhianat’ Osman Jailu, terletak dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang,

“inilah medannya untuk membuktikan penolakan rakyat terhadap ‘pengkhianat’ tersebut,”tegas Fariz.

Beliau turut menyarankan supaya Osman meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bagi mengembalikan maruah dirinya yang telah tercemar, sebelum terlambat.

Katanya ia adalah amat penting dan bermakna kepada rakyat khususnya di DUN Changkat Jering, sekiranya benar-benar beliau tidak menerima apa-apa habuan dari UMNO/BN.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak supaya menyokong Pakatan Rakyat dan turun beramai-ramai bagi membantu memenangkan kedua-dua PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

“Inilah masanya untuk mengganyang Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dan BN yang telah merentap keharmonian dan mengkhianati mandat rakyat Perak serta menzalimi Menteri Besar pilihan rakyat, Dato’ Seri Nizar Jamaludin,”tambahnya

Wednesday, February 11, 2009

Kenyataan Balas AMK Terhadap Karpal Singh

0 ulasan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberi kenyataan balas ke atas apa yang telah dibangkitkan oleh Pengerusi DAP, YB Karpal Singh di dalam kenyataannya semalam.

Karpal dilaporkan menggesa Ketua Umum keADILan yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang berikutan Dato' Seri Anwar dilihat sebagai bertanggungjawab mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.

AMK berpendapat bahawa sandaran fakta yang dinyatakan oleh Karpal adalah sangat samar dan tidak mengambil kira beberapa fakta penting di dalam kronologi kes yang berlaku seusai Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008.

Pendedahan yang dibuat oleh Saudara Fauzi Muda, Ketua KeADILan Bahagian Ipoh Barat bahawa ada usaha untuk membeli beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Perak untuk menyertai BN dengan wang puluhan juta ringgit membuktikan bahawa usaha lompat parti ini dicetuskan dengan jijik oleh Umno-BN di bawah kepimpinan Najib Tun Razak.

AMK juga berharap agar Karpal tidak lupa bagaimana ADUN DAP di Tronoh yang juga Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mendedahkan yang beliau pernah ditawarkan habuan sebanyak RM65 juta untuk melompat ke dalam BN agar BN boleh membentuk kerajaan di Perak.

Apa yang melibatkan Datuk Nasaruddin Hashim, ADUN Bota yang didakwa Karpal dipujuk oleh Anwar menyertai keADILan dan kembali ke dalam Umno 10 hari berikutnya, bukanlah inisiatif baik Anwar mahupun Pakatan Rakyat, sebaliknya sebagaimana yang diperjelaskan oleh Anwar bahawa Datuk Nasaruddin secara ikhlas menemui Anwar untuk menyertai keADILan. Ini seterusnya diikuti dengan kehilangan Datuk Nasaruddin pada pagi 5 Februari 2009 dan dikhabarkan diculik untuk membuat pengakuan kembali ke dalam Umno sebagaimana yang disahkan oleh keluarga beliau.

Karpal seharusnya dapat membezakan antara lompat parti yang berasaskan idealisme perjuangan ataupun berasaskan habuan kewangan dan ugutan. Tidak timbul mana-mana usaha bahawa Pakatan melalui keADILan mahupun Anwar memujuk mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN Umno-BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, sebaliknya merekalah di peringkat permulaan yang datang mendekati Pakatan dan menawarkan diri untuk bersama Pakatan dalam perjuangan yang lebih realistik.

AMK percaya keluh kesah Karpal ini adalah berpunca daripada muafakat yang dipupuk oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat secara kolektif oleh kepimpinan ketiga-tiga parti yakni keADILan, DAP dan PAS yang menolak untuk hajat Karpal untuk menyaman DYMM Tuanku Sultan Perak. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat percaya bahawa apa yang berlaku sebenarnya ialah eksploitasi yang dilakukan oleh Umno-BN melalui Najib untuk membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Justeru dalam hal ini, bukanlah DYMM Sultan Perak yang wajar menjadi sasaran, sebaliknya tindakan Umno-BN dan Najib yang sanggup menghalalkan pelanggaran undang-undang untuk membentuk kerajaan haram BN di Perak.

AMK berharap agar Karpal tidak mudah membiarkan diri beliau dimanipulasi oleh agenda jijik Umno-BN untuk mengganggu-gugat kestabilan Pakatan Rakyat seluruhnya yang telah terbukti mampu memecahkan hegemoni usang Umno-BN.


Karpal juga disarankan untuk tidak bertindak secara 'one man show' dalam mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan keputusan yang dicapai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam beberapa isu yang berbangkit mutakhir ini. Dengan sokongan terbuka yang diberikan oleh DAP melalui Setiausaha Agungnya YAB Lim Guan Eng dan Ketua Whip DAP YB Lim Kit Siang ke atas kepimpinan Dato' Seri Anwar, adalah diharapkan agar Karpal dapat menarik balik kenyataan beliau di atas semangat muafakat Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara kolektif.

Muafakat yang dipupuk ini adalah muafakat yang diinginkan oleh rakyat untuk melihat Malaysia baru dijelmakan dalam konteks politik baru. Justeru adalah sangat malang sekiranya masih ada pihak yang sanggup dipasung minda mereka untuk mengikut arus politik songsang yang dimainkan oleh Umno-BN.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

KRISIS DEMOKRASI DI PERAK PERLU DITANGANI SECARA DEMOKRATIK

0 ulasan

Saya melihat krisis yang berlaku di negeri Perak merupakan 'Krisis Demokrasi' yang perlu ditangani secara Demokratik. Laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO dan parti komponen BN terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YAB Datuk Seri Nizar dan YB Karpal Singh hanya mampu memesongkan rakyat daripada isu sebenarnya iaitu " Samada Peralihan Kuasa di Perak yg dilakukan oleh BN adalah Demokratik".

Saya dengan penuh rendah diri mengambil sikap bertanggungjawab bahawa rakyat perlu diberi penjelasan terhadap isu sebenar. Kegagalan pimpinan politik memberi penjelasan yang sebenarnya merupakan satu penginayaan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang menjadi mangsa apabila cita-cita demokrasi mereka telah 'dihijack' oleh pimpinan politik yang tak bertanggungjawab. Rakyat tidak berdosa dihukum dengan gas pemedih mata, penahanan di bawah ISA dan tuduhan menderhaka yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka sekiranya ruang demokratik diberikan.

Pimpinan Negara, terutama yang muda perlu menunjukkan satu contoh yang lebih bertanggungjawab dengan mneyelesaikan krisis tersebut dengan wadah yang mengambarkan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun. Rakyat sudah bijak. Yang diperlukan ialah wadah dan ruang yang demokratik bagi rakyat membuat penilaian tanpa sogokkan maklumat yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian itu, saya mencabar Pimpinan Pemuda UMNO dan BN untuk berdebat secara terbuka untuk rakyat menilai. Saya yakin Debat Terbuka merupakan wadah demokratik bagi meyelesaikan 'Krisis Demokrasi' yang sedang di alami di Perak. Saya yakin sekiranya Demokrasi yang kita dambakan, maka pendekatan yang Demokratik perlu digunakan.

Yang benar,

Yusmadi Yusoff

Ahli Parlimen Balik Pulau

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang

012-3093469

yusmadi.yusoff@gmail.com

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Lifestyle theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com