Thursday, February 12, 2009

“Masa Untuk Mengganyang Najib”, AMK Terengganu Siap Siaga Untuk PRK Dua ‘Bukit’



Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Terengganu sudah bersiap siaga untuk menghantar skuad AMK menyertai pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau.


“Skuad AMK Terengganu akan bergabung dengan AMK Malaysia dalam menggerakkan gerak kerja kempen kedua-dua PRK ‘Bukit’ tersebut pada bila-bila masa diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),”kata Ketua AMK Terengganu Fariz Musa.

Menurutnya bagi memantapkan lagi persiapan fizikal dan mental ahli-ali AMK Terengganu, program ‘Rapat Anak Muda’ akan diadakan di pejabat Perhubungan PKR Terengganu pada 14 Februari depan.

Beliau berkata program tersebut akan menggabungkan kepimpinana AMK dan skuad AMK Terengganu dalam sesi latihan dan percambahan pemikiran sebagai langkah proaktif siap siaga.

“AMK Malaysia akan turut memanggil latihan khusus persiapan kerja-kerja kmpen pilihanraya dalam masa terdekat, bagi mecapai sasaran gerak kerja tersusun sistematik dan efektif,”kata beliau yang juga Pengarah Pilihanraya AMK Malaysia.

Katanya insiden yang sedang berlaku di negeri Perak telah menaikkan semangat AMK menjadi semakin kental untuk memastikan kemenangan kedua-dua PRK tersebut memihak kepada Pakatan Rakyat.

“Kita (AMK) akan memberikan fokus kepada isu-isu setempat yang signifikan kepada pengundi di kedua-dua PRK tersebut,

“kita juga sudah menyiapkan bahan-bahan penerangan bagi menangkis fitnah dan tohmahan yang dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkaitan ‘rampasan kuasa’ yang telah dilakukan secara rakus di negeri Perak,”katanya kepada Buletinonline semalam.

Beliau percaya pengundi di kedua-dua kawasan pilihanraya tersebut lebih matang untuk menilai situasi dan realiti krisis politik yang belaku.

Oleh itu, beliau yakin pengundi kedua-dua kawasan tersebut akan menyokong calon Pakatan Rakyat dan memastikan penerusan kemenangan selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

“Keutamaan AMK, sebagaimana di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah kepada pengundi muda,

“kecemerlangan AMK dalam kedua-dua pilihanraya kecil sebelum ini akan diteruskan dengan penggembilangan usaha dan gerakan turun berkempen secara habis-habisan,

“lebih-lebih lagi, DUN Changkat Jering yang di wakili oleh ‘pengkhianat’ Osman Jailu, terletak dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang,

“inilah medannya untuk membuktikan penolakan rakyat terhadap ‘pengkhianat’ tersebut,”tegas Fariz.

Beliau turut menyarankan supaya Osman meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bagi mengembalikan maruah dirinya yang telah tercemar, sebelum terlambat.

Katanya ia adalah amat penting dan bermakna kepada rakyat khususnya di DUN Changkat Jering, sekiranya benar-benar beliau tidak menerima apa-apa habuan dari UMNO/BN.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak supaya menyokong Pakatan Rakyat dan turun beramai-ramai bagi membantu memenangkan kedua-dua PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

“Inilah masanya untuk mengganyang Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dan BN yang telah merentap keharmonian dan mengkhianati mandat rakyat Perak serta menzalimi Menteri Besar pilihan rakyat, Dato’ Seri Nizar Jamaludin,”tambahnya

1 ulasan:

PAS Gerik on February 12, 2009 at 11:50 PM said...

http://keadilangerik.blogspot.com

Post a Comment

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Lifestyle theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com