Friday, February 20, 2009

Rakaman Video CCTV - Bukti Ejen UMNO Merasuah Wakil Rakyat Pakatan


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata UMNO cuba merasuah wakil rakyat di negeri dikuasai Pakatan Rakyat untuk memujuk mereka menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ejen-ejen pemimpin Umno juga menggunakan kaedah tidak beretika yang lain termasuk mengugut untuk membuat wakil rakyat pakatan tersebut supaya meninggalkan parti masing-masing dalam usaha mereka mahu menjatuhkan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang.


Ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata beliau mempunyai bukti-ibukti yang menyokong dakwaannya.


Beliau memberitahu pemberita di luar dewan kemudian bahawa beliau mempunyai rakaman TV litar tertutup yang membuktikan ejen-ejen UMNO menawarkan rasuah dan akan mengemukakan bukti berkenaan apabila tiba masanya.


Menyentuh mengenai perkembangan politik di Perak, Anwar mengulangi pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah, sebaliknya bersetuju jika kerajaan negeri yang disifatkannya tidak sah, disaman.


Kerajaan Perak kini dikuasai BN selepas tiga Adun bebas di negeri itu menyatakan sokongan kepada BN yang mempunyai 28 kerusi, menumbangkan pakatan DAP, PAS dan PKR yang juga mempunyai 28 kerusi.

0 ulasan:

Post a Comment

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Lifestyle theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com