Thursday, January 1, 2009

Isu kemelesetan ekonomi dan royalti minyak antara bahan kempen.



Kuala Terengganu - Pakatan Rakyat mengenal pasti beberapa isu nasional dan tempatan sebagai bahan kempen untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan, yang didakwa parti itu akan memberikan kelebihan kepada calon daripada gabungan itu.

Bernama melaporkan Pengerusi Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution, berkata antara isu nasional yang akan dibangkitkan ialah mengenai kemelesetan ekonomi dan kesannya terhadap kehidupan rakyat.

"Isu tempatan pula ialah mengenai royalti minyak yang sepatutnya diberikan kepada Terengganu sejak 2004 hingga 2007, berjumlah RM7 bilion serta masalah penempatan pengundi Cina di kawasan Parlimen berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik gerakan Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifudin yang juga Ahli Parliman Machang, Kelantan menjelaskan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir pada hari penamaan calon, Selasa depan kerana berada di luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata Anwar akan berada di sini bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat bagi membantu calon Pas pada pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akil berkata kira-kira 1,000 anggota parti itu akan 'berkampung' di sini, bagi membantu jentera pilihan raya Pakatan Rakyat sepanjang pilihan raya kecil itu
.

0 ulasan:

Post a Comment

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Lifestyle theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com