Friday, January 23, 2009

Ingatan Kepada Semua AMK - Kemaraan Pakatan Rakyat Akan Di Tekan



KUALA TERENGGANU - Kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu merupakan pusingan pertama kemaraan bagi mencapai kejayaan menuju Putra Jaya.

Ketua Umum KeAdilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan kemenangan itu Barisan Nasional (BN) dijangka menggunakan tindakan lebih keras memastikan mereka diterima rakyat ekoran kekalahan teruk pada pilihan raya kecil itu.

Menurutnya, BN telah melakukan pelbagai usaha terutama menggunakan media negara ini untuk memecahbelahkan PR namun tindakan tersebut ternyata tidak membuahkan hasil memuaskan seperti mana yang diharapkan parti itu.

“BN menggunakan media untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dengan pelbagai isu tapi tidak berjaya dan di Kuala Terengganu pertarungannya cukup sengit...pertarungan antara rakyat bawahan dan pemimpin atasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan kira-kira 30,000 penyokong PR dalam satu ceramah perdana yang dianjurkan sempena kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Kampung Tanjung malam semalam.

Menurut Anwar, dengan kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu, PR yang diterajui Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah berjaya melepasi satu ujian besar selepas pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Beliau berkata, kemenangan PR juga membuka mata banyak pihak dan beliau sendiri ada menerima panggilan rakan-rakan daripada BN yang bertanyakan rahsia atau strategi PR menawan Kuala Terengganu selain mengucapkan tahniah.

“Selepas pilihan raya kecil, ramai rakan-rakan dari seberang sana (BN) hubungi kita ucap tahniah...di Sabah dan Sarawak telefon minta pergi ke sana dengan segera mahu kenal Ahli Parlimen baru (Mohd Abdul Wahid Endut) dan mereka ingin tahu apa rahsia kita di Kuala Terengganu hingga boleh tewaskan BN,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR turut menjelaskan bahawa PR mempunyai kepelbagaian parti dan faktor itu menyebabkan tidak semua perkara boleh disepakati dan ia dipercayai merujuk kepada isu pelaksanaan hukum hudud oleh Pas.

Menurutnya, PR akan muafakat secara bersama untuk isu-isu penting di negara ini seperti menegakkan keadilan, kebajikan rakyat, membendung kegiatan rasuah dan ketidaktelusan badan kehakiman selain perkara penting lain.

“Kita tidak semestinya muafakat dalam semua perkara...tapi dalam menegakkan keadilan, isu rasuah dan kebajikan rakyat ini semua kita sepakat bersama, saya harap rakyat terus mendokong kita supaya kebajikan rakyat dapat diteruskan,” katanya.

0 ulasan:

Post a Comment

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Lifestyle theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com