Saturday, December 27, 2008

Janji Ahmad Said Senjata PKR Terengganu


KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadikan janji dalam kepimpinan Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Said sebagai isu tempatan untuk membantu kemenangan calon Pas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu nanti.

Pengerusinya, Wan Rahim Wan Hamzah berkata, ketika mengambil alih pemerintahan daripada Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini, Ahmad pernah berjanji untuk menghentikan segala projek besar dan membazir yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, antara contoh projek membazir yang dimaksudkan adalah penganjuran Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun, di Pulau Duyong, namun begitu sukan bertaraf antarabangsa itu tetap diteruskan pada awal bulan lalu.

“Isu tempatan kedua yang akan ditekankan adalah masalah tanah di seluruh daerah di Terengganu,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat PKR di Gong Kapas selepas dilantik sebagai Pengerusi PKR Terengganu yang baru.

Wan Rahim berkata, isu tanah menjadi umpan politik murahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dan tanah rakyat di negeri ini terutama dari segi hak milik berada dalam keadaan cukup menyedihkan.

Katanya, Menteri Besar juga berjanji berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira politik namun kepimpinan UMNO dilihat tunduk kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang prejudis kepada mereka yang tidak menyokongnya.

“Isu lain yang boleh dibawa adalah wang ihsan ada diskriminasi politik. Saya diberitahu RM10 atau RM20 daripada wang ihsan diambil. Saya dapat tahu dari kalangan UMNO sendiri BPR (Badan Pencegah Rasuah) sedang siasat,” katanya.

Selain itu menurut beliau, langkah pertamanya selepas dilantik sebagai Pengerusi PKR baru adalah memastikan kemenangan calon Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 17 Januari depan.

“Jentera parti kita sudah siap dibentuk dan saya puas hati dengan rakan-rakan kerana mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya yang turut mengesahkan hampir semua kepimpinan PKR Pusat akan turun ke Kuala Terengganu pada bulan depan.

0 ulasan:

Post a Comment

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Lifestyle theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com